MR INSURAN

Perlindungan Tambahan bagi Insurans Kenderaan



Perlindungan tambahan bagi insurans kenderaan
Kami senaraikan polisi mengikut kesesuaian dan kepentingan bagi pengguna di Malaysia

Perlindungan Cermin Kereta (Windscreen)

Cermin kereta adalah komponen yang sangat terdedah kepada risiko maka wajarlah ianya diinsuranskan. Perlindungan tambahan ini akan membayar kerugian anda bagi membaiki cermin yang retak atau menggantikan cermin yang pecah.

Premium bagi perlindungan ini ialah 10-15% of daripada jumlah diinsuranskan untuk cermin kereta. Jumlah ini selalunya adalah harga cermin itu sendiri. Jadi jika harga cermin kereta anda ialah RM1000, anda perlu membayar tidak lebih dari RM150 setahun.

Perlindungan ini hanya untuk sekali guna sahaja. Jika anda telah pun membuat tuntutan, anda tidak ada lagi dilindungi selagi anda tidak membelinya sekali lagi. Dan kerana perlindungan ini bersandarkan polisi komprehensif anda, apabila polisi komprehensif anda tamat tempoh, begitu juga polisi tambahan cermin ini.

Pemandu Tambahan (Named Driver)


Jika kenderaan anda selalu dipandu oleh orang lain selain anda, anda perlukan perlindungan ini. Tanpa perlindungan tambahan ini, jika berlakunya kemalangan semasa kereta anda dipandu oleh suami/ isteri atau anak-anak anda atau sesiapa sahaja, polisi utama kenderaan anda tidak akan membayar pampasan (atau hanya membayar sebahagian daripada pampasan) kepada anda.

Di Malaysia, anda boleh namakan 2 pemandu untuk dimasukkan ke dalam polisi anda secara percuma. Nama tambahan pula dikenakan caj RM10 seorang.

Perlindungan Semua Pemandu (All Driver Coverage)


Perlindungan tambahan ini berguna untuk kenderaan peribadi yang didaftarkan di bawah syarikat (tetapi bukan kenderaan komersil). Polisi ini memberi perlindungan kepada semua pemandu (atau kakitangan syarikat) yang dibenarkan daripada risiko kemalangan.

Premium bagi perlindungan ini ialah RM 50 setiap kenderaan.

Peril Khas (Special Perils)


Tahukah anda, jika kenderaan anda rosak teruk kerana dimasuki air akibat banjir, atau ditimpa pokok akibat ribut, polisi komprehensif anda tidak akan membayar kerugian anda? Inilah fungsinya perlindungan peril khas.

Perlindungan ini melindungi kenderaan anda daripada bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, tanah gelincir, taufan dan sebagainya. Pada kebiasaannya, premium bagi perlindungan ini ialah 0.5% daripada jumlah diinsuranskan. Tetapi ianya mungkin berbeza mengikut pengendali Takaful dan syarikat insurans.

Contohnya, jika jumlah diinsuranskan bagi kenderaan anda adalah RM 50,000, anda perlu membayar RM250 setahun. Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang kerap mengalami banjir, anda mungkin memerlukan perlindungan tambahan ini.

Liabiliti Undang-undang (Legal Liability)


Terdapat 2 jenis perlindungan liability undang-undang di Malaysia. Kedua-duanya tidak diwajibkan tetapi jika anda kerap memandu ke Singapura, anda diwajibkan membeli kedua-dua perlindungan ini sebagai tambahan kepada polisi utama anda.

(i) Liabiliti penumpang di sisi undang-undang
Perlindungan tambahan ini melindungi anda terhadap sebarang tindakan liabiliti undang-undang ke atas kelalaian yang dilakukan oleh penumpang anda.

Contohnya jika rakan yang anda bawa dalam kereta anda membuang botol kaca keluar tingkap lalu mengakibatkan kemalangan ke atas penunggang motosikal di belakang kereta anda. Ini boleh disebabkan anda disaman kerana menyebabkan kerosakan harta benda dan kecederaan ke atas penunggang itu.

Perlindungan tambahan ini akan melindungi anda terhadap liability sebegini. Premium tambahan bagi perlindungan ini ialah RM 7.50 setiap kenderaan.

(ii) Liabiliti undang-undang kepada penumpang
Perlindungan ini melindungi anda (atau pemandu tambahan) daripada liability undang-undang yang diambil terhadap anda oleh mana-mana penumpang anda.

Contohnya jika kereta yang dipandu anda mengalami kemalangan yang menyebabkan kecederaan ke atas penumpang anda. Jika mereka dapat membuktikan kemalangan itu berpunca dari kecuaian anda, mereka boleh menyaman anda.

Perlindungan ini melindungi anda dari risiko sebegini dengan membayar kos kerugian ditanggung akibat liabiliti ini. Premium bagi perlindungan ini ialah 25% daripada jumlah premium polisi pihak ketiga.

Pampasan untuk Taksiran Masa Pembaikan (Compensation for Assessed Repair Time – CART)


Perlindungan ini memberi jaminan kepada pemegang polisi bahawa syarikat insurans akan membayar pampasan bagi masa di mana kenderaan kehilangan pengunaan. Tetapi pampasan hanya diberi jika anda bukan pihak bersalah dalam kemalangan tersebut.

Masa yang dibenarkan berdasarkan anggaran seorang adjuster bagi bilangan hari bekerja yang diperlukan untuk membaiki kenderaan akibat kemalangan, bukan bilangan hari kenderaan tersadai di bengkel. Pampasan ini membolehkan anda menyewa kereta pada hari-hari tersebut atau membayar tambang teksi.

Sekiranya anda ingin dapatkan pampasan bagi kereta sewa, perlulah kemukakan resit sah daripada syarikat sewa kereta berlesen. Model kereta yang disewa perlulah model yang bersamaan kenderaan yang rosak.

Premium tambahan bagi perlindungan CART berbeza-beza mengikut syarikat insurans. Sesetengah syarikat seperti Allianz menawarkan penggunaan kereta dengan percuma selama 5-9 bagi pelan Enhanced Road Warrior mereka.

Perlindungan Aksesori Tambahan (Car Accessories Cover)


Jika anda telah membelanjakan ribuan ringgit ke atas aksesori yang canggih untuk kereta kesayangan anda, mungkin anda perlukan perlindungan jenis ini.

Di bawah perlindungan ini, anda akan diberi pampasan jika berlakunya kecurian atau kerosakan (akibat kemalangan atau cubaan mencuri) ke atas aksesori yang diinsuranskan. Tayar yang dirosakkan atau dicuri tidak dilindungi polisi ini! Premium bagi perlindungan ini ialah 15% daripada jumlah nilai aksesori yang dilindungi.

Rusuhan & Kemusnahan Awam


Perlindungan ini melindungi kereta anda daripada kerosakan atau kehilangan yang diakibatkan oleh rusuhan dan kekecohan awam. Bayaran bagi perlindunagn jenis ini ialah 0.3% dari jumlah diinsuranskan.

Masih punyai persoalan tentang perlindungan kenderaan? Tujukan soalan anda kepada MR INSURAN

Kredit : iBanding



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *